suria

Dr Noor Hisham ucap takziah kepada keluarga Siti Sarah dan rakyat Malaysia terkorban akibat Covid-19

Dr Noor Hisham (kiri) mengucapkan takziah di atas pemergian Siti Sarah akibat Covid-19.

BERITA pemergian Siti Sarah Raissuddin mengejutkan ramai dan mengundang kesedihan terutama penggiat seni.

Rata-rata mengucapkan takziah selepas penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Isnin, selepas bertarung nyawa akibat Covid-19.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi itu, pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] "Ampunkan isteri saya... apa pun keadaan lepas ni saya reda" - Shuib mohon orang ramai tak putus doakan Siti Sarah

Ucapan takziah beliau turut ditujukan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat Covid-19.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin dan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban oleh Covid-19. Al-Fatihah," tulis beliau secara ringkas di laman sosial.

Umum mengetahui, Dr Noor Hisham saban hari berusaha memerangi wabak Covid-19 bersama petugas barisan hadapan (frontliners) sejak pandemik itu melanda negara, awal tahun lalu.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.13 pagi, Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas dia ditidurkan pada 4 Ogos lalu.

Berita kematian penyanyi berkenaan dimaklumkan sendiri oleh suaminya, Shuib Sepahtu menerusi Instagram.

"Bidadari syurga saya pergi buat selama-lamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah," katanya.

kp ucap takziah siti sarah 5

Ucapan takziah daripada Dr Noor Hisham di laman sosial.

Jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.

Lebih menghibakan, Sarah, 37, pergi ke negeri abadi tanpa sempat menatap bayi lelaki dikandungnya selama lapan bulan yang dilahirkan secara pembedahan bagi menyelamatkan nyawa. Bayi berkenaan yang diberi nama Ayash Affan, kini berada dalam keadaan stabil.

Allahyarham menjalani pembedahan mengeluarkan bayi tersebut selama tiga jam bermula pukul 2 petang Jumaat, 6 Ogos lalu selepas beberapa jam ditidurkan.

Penyanyi lagu Semakin itu dimasukkan ke hospital pada pagi 4 Ogos lalu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan Covid-19.

Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu.

Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011.

Selain Ayash Affan yang kini masih dipantau di PPUKM, mereka turut memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia 6 tahun.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain