suria

Fasa 2 PPN: PdPR kekal di 5 negeri

PdPR terus dilaksanakan di negeri-negeri yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), Isnin ini. gambar hiasan/ foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

LIMA negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin, namun sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan di negeri berkenaan akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), di mana takwim tersebut kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan pada sidang media, 6 Jun 2021.

"Ini bermakna, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara PdPR sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 negeri ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara Isnin ini

"Pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula," katanya satu kenyataan pada Ahad.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Kenyataan itu susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) pada 3 Julai 2021 berkaitan peralihan ke Fasa Dua PPN bagi negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa mulai 5 Julai 2021.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa Dua PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

MKN turut memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain