suria

Langgar SOP? Kertas siasatan kes Tajuddin diserah ke Jabatan Peguam Negara

Tajuddin sebelum ini telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

NAMA Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hangat diperkatakan selepas insiden pada 24 Mei lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, polis telah menyerahkan kertas siasatan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana)itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: LRT bertembung: 213 mangsa akan terima bantuan khas RM1,000

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semua individu berkaitan untuk siasatan kes terbabit telah selesai dirakam keterangan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kertas siasatan telah dihantar kepada AGC minggu lalu selepas proses rekod kenyataan mereka yang terbabit sudah dilakukan.

“Biar AGC memutuskan tindakan selanjutnya, ” kata beliau ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada 27 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan telah memanggil Tajuddin untuk dirakam keterangan.

Selain itu, Mohamad Zainal turut mengesahkan memanggil Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga kakitangan Prasarana.

Sebelum itu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin susulan video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka.

Pada sidang media itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. - Sinar Harian.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain