suria

Gesa PKP penuh, Tun M perjelas kerajaan perlu tanggung kos untuk rakyat

Dr Mahathir memberi pandangan mengenai pelaksanaan PKP penuh. foto Sinar Harian

GESAAN supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan di seluruh negara turut disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kerajaan perlu menanggung kos termasuk menyediakan makanan cukup untuk seluruh rakyat, sekiranya PKP penuh dilaksanakan.

Dr Mahathir berkata, langkah kerajaan adalah tepat untuk memperkenalkan semula PKP sehingga 7 Jun depan, namun pelaksanaan PKP kali ini tidak lagi ketat berbanding pelaksanaan pada kali pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai gesa 'total lockdown', ini jawab Ismail Sabri

"Kita perlu sekat orang ramai supaya tetap berada di rumah. Tak seharusnya ada alasan untuk orang ramai berkumpul. Penjarakkan mesti dilaksanakan bahkan dalam kalangan barisan hadapan," katanya dalam kenyataan di blognya pada Khamis.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi bagaimanapun mengakui dengan langkah menyekat pergerakan orang ramai di rumah bermaksud mereka tidak ada duit dan tidak mempunyai makanan.

"Kerajaan perlu terima tanggungjawab untuk pastikan rakyat terus hidup. Bagi makanan, mestilah ada dapur awam di mana makanan disediakan, dibungkus dan dihantar ke rumah," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Beliau berkata, kuarantin kendiri di rumah juga mesti dilanjutkan dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan di samping polis dan tentera digesa bertegas dalam memastikan orang ramai tidak keluar untuk membeli-belah atau melakukan perkara-perkara lain.

"Kos perbelanjaan harus ditanggung kerajaan. Kosnya akan jadi tinggi, namun kerajaan perlu lakukannya," kata beliau lagi.

Tambah Dr Mahathir, program vaksinasi mesti dipercepat dan kita harus menerima apa sahaja vaksin yang digunakan di negara lain secara meluas serta usaha khas harus dilakukan agar orang kampung diberi vaksin.

"Kita harus serius dalam memerangi Covid-19. Sekiranya tidak, kita akan melihat banyak orang mati yang mungkin dapat diselamatkan," katanya. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

PKP penuh, PKP, Tun M, Dr Mahathir Mohamad,

Artikel Lain