suria

Haram hukumnya langgar larangan rentas negeri sambut Aidilfitri - Mufti WP

Sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa. foto ART CHEN/The Star

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, haram hukumnya melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, seperti yang ditetapkan kerajaan.

Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Beliau berkata, Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

"Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram.

"Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?

"Dalam media baru-baru ini ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu) Yang Dipertuan Agong. Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran)," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Beliau berkata demikian pada Seminar Cabaran Covid-19 Menurut Perspektif Islam dan Pelancaran Buku Fakulti Pengajian Islam di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom, hari ini.

Luqman berkata, perbincangan panjang mengenai hukum boleh dibuat bagaimanapun dalam menangani penularan Covid-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.

"Sekiranya untuk kebaikan, sebagai rakyat ia perlu diikuti. Jika tidak risiko (disebabkan jangkitan) adalah tinggi," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain