suria

Diawalkan 2 hari, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 24 Februari - Khairy

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di KLIA, pagi Ahad melalui penerbangan MH604. foto Bernama

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan diawalkan kepada Rabu, 24 Februari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa program itu, pada awalnya dijadualkan bermula Jumaat (26 Februari), akan diawalkan selama dua hari.

"Kita dapat membuat persiapan awal untuk memulakan program imunisasi setelah ketibaan vaksin dan telah memutuskan untuk melaksanakan program tersebut lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba di Malaysia pagi ini

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi yang pertama menerima vaksin di Putrajaya setelah mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Rabu ini," katanya pada sidang media di KLIA susulan ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada pagi Ahad.

Beliau menambah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi individu seterusnya untuk menerima vaksin tersebut.

Khairy berkata, sejumlah 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech akan diberikan kepada lebih 271,000 petugas barisan hadapan (frontliners), 57.3 peratus daripadanya terdiri daripada kakitangan perubatan dan 42.7 peratus adalah frontliners bukan perubatan.

Tambah Khairy, kumpulan vaksin pertama akan diedarkan ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara pada Ahad, meliputi empat di Johor, dua di Pulau Pinang, enam di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan satu di Putrajaya.

"Sejumlah vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada pukul 2 petang ini menggunakan jalan darat. Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang," katanya.

Menurut Khairy, baki vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba secara berperingkat setiap dua minggu. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain