suria

SPRM sahkan tahan timbalan pengerusi parti politik, rampas wang tunai RM1.2 juta

SPRM mengesahkan menahan seorang pemimpin parti politik pada Selasa. Gambar hiasan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan seorang timbalan pengerusi parti politik di sebuah negeri.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, SPRM berkata penahanan pemimpin itu yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

SPRM bagaimanapun tidak menamakan pemimpin berkenaan.

Turut ditahan di dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh pada Selasa ialah dua pengarah syarikat, kata SPRM.

"Dalam pada itu, SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi tersebut.

"Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.

"Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta dibekukan untuk siasatan," kata suruhanjaya itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan masih berjalan dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain