suria

PKPB: Majlis kahwin, akad nikah, bertunang dibenarkan... makan di kedai ikut keluasan meja - Ismail Sabri

Majlis perkahwinan, pertunangan dan akad nikah antara yang dibenarkan di negeri-negeri yang dikuat kuasakan PKPB. -gambar hiasan

PENGANJURAN majlis sosial kembali dibenarkan di negeri-negeri yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media, petang Selasa.

"Di kawasan PKPB... majlis perkahwinan, pertunangan, akad nikah, kenduri-kendara, majlis akikah, doa selamat, tahlil dan sambutan ulang tahun, majlis hari lahir. reunion serta majlis sosial lain adalah dibenarkan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kebenaran menganjurkan majlis sosial itu perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat, bengkel dan seminar secara bersemuka serta persidangan dan pameran (MICE) turut dibenarkan di negeri-negeri di bawah PKPB.

"Bagi dine-in (makan di premis) turut dibenarkan mengikut keluasan meja, asalkan ada penjarakkan satu meter antara satu sama lain," katanya.

Tambah beliau, kebenaran lain bagi pelaksanaan PKPB adalah sama seperti PKPB yang dilakukan pada tahun lalu, mengikut SOP yang ditetapkan.

Menerusi sidang berkenaan, Ismail Sabri mengumumkan negeri-negeri yang bertukar status dari PKP kepada PKPB, berkuat kuasa selama dua minggu bermula 19 Februari hingga 4 Mac depan.

Negeri-negeri yang bertukar status kepada PKPB itu adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain