suria

Polis siasat 2 dakwaan salah laku anggota, termasuk insiden ‘tak pakai bra’ di sekatan jalan raya

Satu lagi dakwaan melibatkan seorang anggota polis menghantar mesej kepada seorang wanita untuk berkenalan.

POLIS sedang menyiasat dua insiden yang mendakwa salah laku anggotanya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, susulan ia tular di media sosial.

Kejadian pertama melibatkan seorang wanita di Pulau Pinang, yang mendakwa seorang anggota polis telah meminta nombor telefonnya ketika melalui satu sekatan jalan raya.

Angota polis itu kemudian didakwa menghubunginya untuk berkenalan.

Kejadian lain melibatkan seorang wanita yang mendakwa seorang anggota polis mengeluarkan kritikan yang tidak wajar kerana tidak memakai bra, ketika melalui satu sekatan jalan raya di Jalan Duta.

Kedua-dua wanita tersebut berkongsi pengalaman dan dakwaan mereka menerusi platform media sosial.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, polis Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sedang menyiasat kedua-dua kejadian tersebut sambil dipantau oleh JIPS.

"Siasatan melibatkan mengenal pasti anggota polis yang terlibat berdasarkan keterangan yang diperoleh.

"Bukit Aman juga telah menghubungi kedua-dua pengadu untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai anggota polis yang terlibat bagi membantu siasatan oleh JIPS," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau menambah, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap anggota polis yang terlibat sekiranya tuduhan tersebut terbukti adalah benar.

"Kesalahan yang dijelaskan oleh pengadu merupakan salah laku serius yang boleh mencemarkan imej pasukan polis," katanya.

Zamri turut mengingatkan semua pegawai dan anggota polis agar bersikap profesional.

"Jangan lakukan atau katakan perkara yang di luar bidang tugas rasmi," kata beliau. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain