suria

Bertembung trak tentera, anggota polis antara 3 maut

Kemalangan melibatkan trak ATM dan dua kenderaan lain, pagi tadi.

TIGA maut apabila sebuah trak tentera merempuh sebuah motosikal dan kereta yang yang dipandu seorang pegawai polis dalam satu kemalangan di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Supritendan Mohd Hamizi Halim berkata, penunggang motosikal berusia 25 tahun, Jul Amri Shamsudin dan sepupunya, Yasa Samsudin, 35, yang merupakan pembonceng, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Mangsa ketiga adalah seorang anggota polis berusia 45 tahun, Koperal Shamsully Adly.

Difahamkan Shamsully yang memandu Perodua Kancil sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas di Balai Polis Kota Belud.

Shamsully juga meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam keretanya dalam kejadian yang berlaku pukul 8 pagi itu.

Mohd Hamizi berkata polis sedang merakam keterangan pemandu trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 25 tahun yang terlibat dalam kejadian itu.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, siasatan awal mendapati bahawa trak itu dari arah Tamparuli menuju ke Tenghilan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal keluar dari simpang jalan Marabhai Spurs dan pemandu trak tidak dapat mengelak dan bertembung dengan mereka.

"Akibat pertembungan itu, pemandu trak hilang kawalan lalu masuk ke laluan yang bertentangan, lalu merempuh kereta yang dipandu oleh anggota polis itu," katanya dalam satu kenyataan. -THE STAR

Artikel Lain