suria

Bayaran BPN 2.0 dipercepatkan, pendahuluan hingga RM1,000 untuk pemohon i-Sinar Kategori 2 - PM

Perdana Menteri mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) menerusi perutusan khas pada Isnin petang.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi menangani kesukaran yang dihadapi rakyat ketika pandemik Covid-19.

Antara yang diumumkan termasuklah kemudahan i-Sinar telah dibuka kepada semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas pendapatan akibat wabak itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin sukar dikawal, kerajaan laksanakan semula PKP di 6 negeri bermula Rabu

"Bagi menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta bencana banjir, kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.

"Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

"Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari," ujarnya dalam satu peruytusan khas, Isnin.

Tambah Muhyiddin i-Sinar yang mula dibuka untuk permohinan sejak 21 Disember tahun lalu pula sehingga kini merekodkan lebih 3 juta permohonan yang telah diluluskan.

Antara lain yang diumum termasuklah bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) akan dipercepatkan, iaitu mulai 21 Januari 2021.

Sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM2.38 bilion.

"Bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada lapan juta penerima. Golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300, dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan pula, mereka akan menerima RM150.

Untuk rekod, Muhyiddin pada 11 Januari lalu mengumumkan mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara, berkuatkuasa pada 13 Januari dalam tempoh 14 hari iaitu sehingga 26 Januari depan.

Ia melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PKP Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain