suria

Malaysia catat kematian ke-300 akibat Covid-19, direkodkan 869 lagi kes baharu... 82 di ICU

Malaysia merekodkan 869 kes baharu positif Covid-19 dan enam lagi korban pada Selasa. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 869 kes baharu, menjadikan keseluruhan 42,050 kes setakat selasa.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 11,446 kes, di mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada kes baharu yang telah dilaporkan, satu merupakan kes import manakala baki 868 selebihnya adalah penularan dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia rekod 972 kes pada Isnin, 8 lagi jadi korban... enam kluster baharu dikesan

Sabah masih merekodkan kes tertinggi dengan 397 kes pada Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat pertambahan enam kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian 300 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan enam kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 300 kes,"katanya dalam sidang media pada Selasa petang.

Sehingga hari ini, 725 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kes pulih keseluruhan adalah sebanyak 30,304 kes.

Untuk rekod semasa, 82 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, empat kluster baharu dikesan iaitu Kluster Liawan, Kluster Tatahan, Kluster GK Tawau dan kluster Kube.

Berikut ringkasan kes kematian pada Selasa:

Kes 295 - Seorang lelaki warganegara berusia 77 tahun, memopunyai latar belakang penyakit bengkak kelenjar prostat, meninggal dunia di Hospital Semporna

Kes 296 - Seorang lelaki warganegara berusia 47 tahun, meninggal dunia di Hospital Semporna

Kes 297 - Seorang lelaki warganegara berusia 53 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent

Kes 298 - Seorang perempuan warganegara berusia 62 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kanser pangkal rahim, kanser payu dara dan osteoartritis meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent

Kes 299 - Seorang lelaki warganegara berusia 84 tahun, mempunyai latar belakang penyakit parkinson, bengkak kelenjar prostat dan hepatitis B, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth

Kes 300 - Seorang perempuan bukan warganegara berusia 65 tahun, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, kluster, Sabah

Artikel Lain