suria

Bangkitnya mercu tanda pembangunan baharu di Taman Pauh Jaya... Hanya 1 peratus boleh pindah masuk

Evoke Residences @ Gravitas di Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang, adalah blok kondominuim 35 tingkat. - CHAN BOON KAI / The Star

PERKARA pertama yang menjadi petunjuk mengenai keluasan ruang di Evoke Residences @ Gravitas di Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang adalah kondominium ini mempunyai lebih daripada 50 tempat parkir pelawat.

Bukan itu sahaja, setiap unit kediaman juga mempunyai dua tempat parkir berbumbung, sekaligus menawarkan suasana mewah buat penghuninya.

Malahan ada lagi berita baik mengenai projek ini di mana orang ramai berpeluang membeli unit kediaman di kondominium ini tanpa pendahuluan, selain memperoleh 100 peratus pembiayaan.

Kondominium dengan panorama ini dibina setinggi 35 tingkat, mempunyai 300 unit seluas 1,100 kaki persegi dengan tiga bilik tidur.

Setiap unit berharga antara RM494,648 dan RM541,380, dan jika anda tidak mempunyai wang pendahuluan 10 peratus hingga 15 peratus, usah bimbang kerana UDA Holdings Berhad (UDA) selaku pemaju dapat membantu.



Kesemua 300 unit berukuran 1,100 kaki persegi dengan tiga bilik tidur.

UDA menerusi kerjasama dengan Maybank Islamic cuba untuk meringankan beban pembeli rumah.

Dengan rancangan pemilikan rumah Maybank Islamic Houzkey, ia menyediakan pembiayaan 100 peratus dan tiada pendahuluan diperlukan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany.



UDA menerusi kerjasama dengan Maybank Islamic cuba untuk meringankan beban pembeli rumah dengan Houzekey.

"Kami berkecimpung dalam pembangunan bandar sejak 1971. Rumah pangsa UDA di Tanjung Tokong adalah salah satu projek pertama kami sebelum berkembang selama bertahun-tahun dan kini kami membina hartanah untuk semua segmen pasaran.

"Tentu sekali gembira dapat menawarkan kediaman yang luas dan dibina dengan baik di Pulau Pinang dan pada masa sama ingin memudahkan pembeli mendapatkan kediaman mereka.

"Matlamat utama untuk menolong orang ramai memiliki kediaman, terutama golongan muda atau pembeli rumah pertama yang merasa sukar untuk membuat pembayaran pendahuluan 10 peratus," kata Mohd Salem, sambil menambah bahawa meningkatkan jumlah pemilikan rumah adalah salah satu prinsip perniagaan UDA.

Dengan menggunakan Houzkey, kata beliau, pembeli Evoke Residences dapat memasuki rumah baharu dengan hanya memberikan deposit yang akan dikembalikan (refundable deposit) selama tiga bulan daripada ansuran melalui pelan rancangan pemilikan tersebut.



Bilik tidur utama

Mohd Salem berkata, pembeli Evoke Residences akan diberi kunci unit masing-masing pada bulan depan dan masih terdapat kira-kira 100 unit yang tinggal untuk dijual.

UDA menandatangani memorandum persefahaman baru-baru ini dengan Maybank Islamic untuk memberikan Houzkey kepada pembeli Evoke Residences.

Sementara itu Pengarah Urusan Maybank Real Estate Ventures, Sally Lye Saw Im, yang mewakili Maybank Islamic dalam upacara menandatangani memorandum tersebut menyifatkan pelan tersebut adalah peluang bagi pembeli rumah pertama dan kedua untuk mendapatkan pinjaman perumahan tanpa memperuntukkan perbelanjaan yang besar.

"Kami tahu kebanyakan rakyat Malaysia bergelut dengan perkara ini. Sekiranya hartanah itu berharga RM500,000 anda perlu membelanjakan RM50,000 atau lebih. Dengan Houzkey, anda hanya membelanjakan satu peratus. Hanya RM5,000 dan anda boleh berpindah masuk," ujar Lye.

Tambahnya, untuk lima tahun pertama tempoh tersebut, pembeli membayar sewa bulanan kepada Maybank Islamic di mana ia 20 peratus hingga 30 peratus lebih rendah daripada pembayaran gadai janji.

"Tempoh pembayaran balik bermula selepas lima tahun. Ini bermakna pembeli boleh memenuhi syarat pinjaman walaupun mereka belum bersedia dari segi kewangan. Maksudnya, kami akan menunggu pembeli bersedia sementara mereka turut dapat menikmati rumah baharu," katanya, sambil menambah, pembeli dapat mengunci harga lebih awal dalam masa yang sama.



Ruang makan/dapur

Evoke Residences dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 1.6 hektar, hanya lima kilometer dari Jambatan Pulau Pinang.

Dilihat dari udara, bangunan ini berbentuk-V dan ini bertujuan memberi penghuninya menikmat pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan Bukit Mertajam dari dua sisi berbeza.

Kemudahan yang disediakan di kondominium ini termasuk kolam renang, taman permainan, sky garden, gimnasium, pit BBQ, kawasan meditasi, laluan refleksologi, gelanggang tenis, dewan serbaguna dan tadika.

Di luar pintu masuk utama terdapat taman awam dan medan selera.

Taman Pauh Jaya adalah kawasan pinggir bandar berkepadatan rendah yang terancang dengan jalan yang luas dan berhampiran dengan Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Permatang Pauh.

Untuk maklumat lanjut mengenai Evoke Residences, lawati www.udaproperty.com.my.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain