suria

7 maut, 3 cedera... polis sedang kenal pasti waris kemalangan treler-MPV

Kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 4 hingga 50 tahun. fotoBERNAMA.

NGERI.

Begitulah perkataan yang dapat menggambarkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh, Perak, menghala ke Cameron Highlands, petang Selasa.

Menerusi kejadian itu, tujuh mangsa maut manakala tiga lagi cedera.

Menurut polis, waris mangsa juga sedang dikenal pasti oleh pihak mereka.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, identiti kesemua mangsa belum dapat dipastikan setakat ini.

Malah, pihaknya hanya mengenal pasti pemilik kenderaan yang beralamat di Mukim Terap, Kampung Badlishah di Serdang, Kedah.

Beliau berkata berdasarkan soal siasat terhadap pemilik itu, polis mendapati seorang daripada mangsa dipercayai telah meminjam kenderaannya.

Katanya mangsa yang maut terdiri daripada dua lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan manakala mereka yang cedera membabitkan seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak.

Kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 4 hingga 50 tahun.

“Mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan, ” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik hospital itu.

A.Asmadi berkata dalam nahas pada 5.30 petang itu, difahamkan kenderaan Perodua Alza yang datang dari arah Cameron Highlands dipercayai dalam perjalanan ke Kedah telah terbabas ke lorong bertentangan sebelum melanggar treler.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan bahawa kenderaan itu memasuki laluan yang salah namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca serta sebab terlanggar terus terbalik.

“Kita mengharapkan sesiapa yang melihat kejadian ini dapat tampil kepada kita, ” katanya sambil menambah kesemua mangsa yang maut akan dibedah siasat pagi esok.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.- BERNAMA.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain