suria

Guan Eng ditahan berhubung kes projek terowong dasar laut

Lim Guan Eng (dua, kiri) di Ibu Pejabat SPRM. Foto Bernama

BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah ditahan berhubung kontroversi kes projek terowong dasar laut.

Beliau ditahan pada pukul 9.30 malam Khamis di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis malam berkata, Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi Jumaat.

Terdahulu, Guan Eng tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 9.10 malam Khamis dengan menaiki kereta Vellfire putih.

Kontroversi projek terowong dasar laut bernilai RM3.6 bilion sekali lagi disiasat oleh SPRM berhubung petunjuk baharu.

SPRM telah menyoal siasat beberapa individu berhubung kes tersebut.

Ini termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan anggota exco, Jagdeep Singh Deo, Chong Eng, dan Phee Boon Poh.

SPRM juga difahamkan turut mengadakan serbuan ke pejabat Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy di Komtar, Pulau Pinang.

Guan Eng berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang antara 2008 dan 2018. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain