suria

Tak sampai 24 jam selepas dilahirkan, bayi masih bertali pusat dibuang dalam kotak air mineral

Hasil pemeriksaan mendapati bayi seberat 2.8 kilogram ini dilahirkan cukup bulan. (Gambar Hiasan)

BUKANLAH satu perkara baharu, namun ia tetap meruntun hati kita setiap kali dilaporkan berlaku.

Begitulah kisahnya melibatkan kes pembuangan bayi yang masih berterusan sehingga ke hari ini.

Terbaharu, seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan dalam kotak air mineral di persimpangan Jalan Kabus-Jalan Bintang di Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi perempuan itu daripada orang awam pada 7 pagi.

“Tiada sebarang dokumen atau barang milik bayi ditemukan bersama bayi ini dan bayi telah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bayi seberat 2.8 kilogram ini dilahirkan cukup bulan dan ia dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu, ” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Zanariah di talian 0189604202 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Noor Azmi Yusoff, bayi, buang bayi

Artikel Lain