suria

Covid-19: KKM kenal pasti 4 kluster baharu di negara ini

Malaysia catat 18 kes baharu Covid-19 pada Selasa.

SELAIN 18 kes positif Covid-19 yang direkodkan pada Jumaat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kluster itu melibatkan individu dalam siasatan (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Tambahnya, pecahan kes indeks bagi keempat-empat kluster tersebut melibatkan dua warga tempatan dan dua bukan warganegara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian akibat Covid-19 kekal 122, Malaysia catat 18 kes baharu hari ini

Katanya kes indeks kluster PUI Pitakwa merupakan seorang warga Malaysia (iaitu kes ke-8737) yang telah pulang ke tanah air dari negara Nigeria pada 11 Julai lepas dan saringan COVID-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) didapati negatif.

Namun, tiga hari kemudian beliau perlu menjalani ujian ulangan COVID-19 kerana didapati mengalami gejala teruk dan dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

"Susulan itu, 44 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan kru kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Daripada jumlah tersebut dua dikesan positif (iaitu kes ke-8754 dan 8755), tiga negatif manakala selebihnya masih pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster Pusat Perubatan Kuching, kes indeks merupakan seorang warga Malaysia (kes ke-8734) iaitu petugas kesihatan barisan hadapan yang telah menjalani saringan COVID-19 kerana berisiko tinggi namun tidak mempunyai gejala.

Individu itu dikesan positif COVID-19 pada 14 Julai lepas dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Susulan itu satu kes dikesan positif daripada 26 kontak rapat telah dikenal pasti termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja.

"Manakala yang lain adalah negatif. Kes positif tersebut adalah ke-8744 dan merupakan rakan setugas kes ke-8734 di sebuah pusat perubatan di Kuching," katanya.

Mengenai kes indeks Kluster PUI Shirala yang melibatkan bukan warganegara, Dr Noor Hisham berkata individu itu daripada golongan professional (iaitu kes ke-8730) dan tiba di Malaysia pada 6 Julai lepas atas urusan kerja.

Beliau berkata saringan COVID-19 yang dijalankan di India dan KLIA didapati negatif namun lima hari kemudian individu itu menjalani ujian ulangan COVID-19 selepas mengalami gejala pada 11 Julai dan dikesan positif.

"Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Setakat ini, dua kontak rapat telah dikenal pasti, satu kes positif (kes ke-8738) dan seorang lagi negatif," katanya.

Bagi Kluster Jupiter, pesakit iaitu kes ke-8723 adalah bukan warganegara dan merupakan seorang kru sebuah kapal. Individu itu mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

Dr Noor Hisham berkata pesakit berkenaan mula mengalami gejala pada 3 Julai lepas dan keadaannya semakin teruk pada 11 Julai semasa berada di perairan Sarawak.

"Beliau telah dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan COVID-19 didapati positif, kemudiannya dipindahkan ke Hospital Bintulu, Sarawak. Susulan itu, 29 kontak rapat telah dikenal pasti di dalam kapal tersebut. Kesemuanya adalah merupakan kru kapal.

"Daripada jumlah ini: dua dikesan positif (kes ke-8747, kes ke-8748) dan 27 negatif. Kluster ini adalah kluster import yang terpencil. Masyarakat sekeliling sememangnya tidak terdedah kepada kru kapal ini namun kes yang memerlukan rawatan akan segera dibawa ke pusat perubatan dan hospital," katanya.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain