suria

“Ambil gambar, kalau video lagi bagus” - Orang ramai diminta bantu kerajaan, lapor ingkar PKPB

Orang ramai disaran membantu kerajaan dan memberikan kerjasama sepanjang tempoh PKPB.

ORANG ramai disaran membantu kerajaan dalam menyalurkan maklumat sekiranya ada mana-mana pihak yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada Isnin.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lebih bagus sekiranya laporan itu disertakan dengan bukti visual bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Rakyat Malaysia dapat lampu hijau bantu lapor polis jika ada pelanggaran SOP

"Saya seru semua rakyat sama-sama bantu kerajaan dalam memastikan pematuhan SOP di bawah PKPB.

"Tuan-tuan yang nampak dengan jelas pengingkaran SOP boleh melaporkan ke balai-balai polis terdekat atau pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti majlis daerah, majlis perbandaran dan lain-lain.

"Kalau boleh ambil gambar, kalau ambil video lagi bagus. Lebih terbukti apa yang dilaporkan," ujarnya menerusi sidang media harian pada Isnin.



PKPB bermula pada 4 Mei (Isnin).

Selain itu, aduan juga boleh dibuat menerusi talian bebas tol Majlis Keselamatan Negara di nombor 88882010 atau MyGCC di talian 80008000.

Kedua-dua talian itu boleh dihubungi sepanjang masa dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Dalam sidang media sama, Ismail turut memperincikan operasi harian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada Ahad misalnya, mereka menjalankan 819 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan pemeriksaan ke atas 441,036 kenderaan.

Sehingga kini, 24,081 individu telah ditangkap kerana ingkar PKP sejak ia dikuatkuasa 18 Mac lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain