suria

Tapak binaan KL dikenal pasti kluster terbaharu, disyaki ada kaitan kluster lain - “Mereka duduk sekali dalam satu apartment”

Wujud 28 kes positif di kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memperincikan jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini termasuklah mengenai kluster-kluster aktif menerusi sidang media harian pada Ahad petang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lima kluster masih menunjukkan pertambahan kes termasuklah satu lagi kluster baharu iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Sehari sebelum PKPB: 122 kes positif baharu dicatat, 2 lagi korban akibat Covid-19

"Kluster pesantren ada pertambahan 50 kes, menjadikan 219 kes keseluruhan. Kluster Sendayan 17 kes baharu, 104 keseluruhan. Kluster Pasar Chow Kit ada 16 kes baharu, 28 keseluruhan.

"Kluster persidangan gereja ada pertambahan satu kes, 182 kes keseluruhan dan kluster petugas kesihatan Kuching ada pertambahan satu kes baharu, 58 kes keseluruhan.

"Setelah disiasat pada peringkat awal, ada satu kluster baharu iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur yang mana jumlah kes adalah 28 tetapi tiada pertambahan semalam, jadi jumlah kes adalah 28," ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham, siasatan awal mendapati kewujudan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur itu mungkin ada kaitan dengan kluster-kluster lain yang diumum sebelum ini.

Namun katanya, pihak KKM masih tidak mendapat bukti-bukti kukuh untuk mengesahkan kaitan tersebut.

"Mereka yang terlibat, contohnya mereka duduk sekali dalam satu apartmen. Jadi mungkin jangkitan itu daripada kluster lain. Mungkin ada yang kaitan dengan kluster perhimpunan Sri Petaling, ada mereka yang hadir tapi dah lama sangat.

KKM memberi saranan kepada warga emas agar mereka terus patuh PKPB kerana mereka adalah golongan berisiko dijangkiti.

"Tetapi mungkin ada yang berkaitan dengan kluster pasar borong, sebab rakan serumah mereka kerja di pasar borong. Dan ada juga kaitan dengan kluster Kampung Baru," ujarnya.

Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham turut menggesa warga emas agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memandangkan mereka adalah golongan berisiko untuk dijangkiti.

Malah, KKM turut menggariskan prinsip 3C untuk golongan itu iaitu elakkan kawasan sesak (crowded place), kawasan yang sempit (comfined space) dan bertutur dengan jarak dekat (close conversation).

"Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, warga emas serta orang ramai boleh menghubungi Virtual Health Advisory melalui portal KKM dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.

"Warga emas yang perlu mendapat rawatan penyakit kronik di klinik kesihatan, mereka dinasihatkan agar datang untuk rawatan susulan mengikut tarikh dan masa temujanji yang ditetapkan.

"Bagi mengurangkan kekerapan kedatangan dan kesesakan di klinik untuk mengambil bekalan ubat separa, KKM telah menyediakan perkhidmatan farmasi Value Added Service seperti Ubat Melalui Pos (UMP), Locker2U, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) dan Farmasi Pandu Lalu mengikut kesesuaian perkhidmatan yang ditawarkan.

"Memandangkan warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk jangkitan, KKM juga telah memutuskan untuk menjalankan ujian saringan kepada pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas. Saringan ini akan dijalankan secara berfasa," ujar Dr Noor Hisham lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain