suria

Mereka yang terkandas di kampung belum boleh pulang ke bandar sehingga tarikh ditetapkan

PDRM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bermesyuarat selepas semua info diperolehi sebelum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepulangan orang ramai ke tempat masing-masing.

PERMIT pergerakan bagi orang ramai yang terkandas di kampung sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tidak akan bermula pada 1 Mei ini.

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu memperjelaskan semula jadual perjalanan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapor diri di balai polis atau aplikasi Gerak Malaysia jika mahu pulang ke rumah atau tempat kerja selepas 1 Mei - Pesanan Ismail Sabri kepada rakyat Malaysia di kampung

"Saya nak memperbetulkan sedikit kekeliruan semalam apabila PDRM keluar kenyataan bahawa 1 hingga 3 Mei perjalanan dibenarkan bermula.

"Sebenarnya seperti saya sebutkan bahawa sehingga 1 Mei adalah tempoh pendaftaran. Pendaftaran boleh dibuat online (aplikasi Gerak Malaysia) dan sesiapa tidak mempunyai aplikasi tersebut... boleh laporkan ke balai polis berdekatan melalui temu janji.

"Perkara (pendaftaran) ini dibuka sehingga 1 Mei. Selepas 1 Mei baru kita kumpul info daripada balai-balai polis seluruh negara," ujarnya menerusi sidang media harian pada Ahad.



Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata Ismail, PDRM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bermesyuarat selepas semua info diperolehi sebelum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepulangan orang ramai ke tempat masing-masing.

Biarpun belum bermesyuarat, Ismail memuji tindakan PDRM yang sudah mencadangkan beberapa SOP bagi tujuan berkenaan.

"Selepas mereka mencadangkan SOP, mereka perlu membawa cadangan ini ke mesyuarat khas menteri-menteri untuk diluluskan.

"Kalau kita luluskan, barulah boleh tetapkan tarikh mula pergerakan tersebut," ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, aplikasi ‘Gerak Malaysia’ kini boleh diakses sehingga Rabu (29 April).

Tambahnya, bagi memudahkan pergerakan pemohon, PDRM sudah menetapkan jadual perjalanan iaitu 1 Mei 2020 - Perak, Johor, Kelantan; 2 Mei 2020 - Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang serta 3 Mei 2020 - Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Selepas pengumuman Ismail Sabri pada sidang media Ahad, jadual perjalanan ini sudah tidak terpakai.

Artikel Lain