suria

Ebit Lew boleh terus turun padang ketika PKP... dipanggil ke Bukit Aman kerana ramai tidak puas hati, anggap menunjuk-nunjuk

PDRM berkata pihaknya tidak pernah menghalang Ebit untuk menyampaikan sumbangan selagi beliau mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM dan JKM.

TIADA kertas siasatan dibuka terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew setakat ini, demikian kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau juga mengesahkan bahawa penceramah itu diberi kebenaran oleh pihak polis untuk memberi sumbangan keperluan terutama makanan kepada golongan tidak berkemampuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ARTIKEL BERKAITAN: Berjuta ringgit dibelanja, Ebit Lew sedih bantuan disalaherti - “Minta maaf, jangan tag saya lagi kes orang susah...”

ARTIKEL BERKAITAN: Adi Putra pertahan usaha Ustaz Ebit Lew beri bantuan - “Siapa hentam saya tak teragak-agak ke depan, jangan hanya berani bercakap”

"PDRM tidak pernah menghalang beliau untuk berbuat demikian selagi beliau mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini tiada kertas siasatan yang dibuka ke atas beliau.

"Bagaimanapun PDRM ingin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh dikecualikan dari tindakan undang-undang ke atas sebarang pelanggaran yang berkaitan dengan pelaksanaan PKP," ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, tujuan Ebit dipanggil hadir untuk memberikan keterangan adalah berhubung reaksi orang ramai mengenai tindakannya yang memaparkan aktiviti kebajikan dalam tempoh PKP di laman sosial.

"Berdasarkan pemerhatian, ramai di kalangan masyarakat yang memberi respon positif dan menyokong aktiviti kebajikan yang dilaksanakan, namun terdapat juga sebahagian yang dilihat kurang senang dengan tindakan beliau mempamerkan aktiviti-aktiviti tersebut di media sosial kerana dilihat seperti mahu menunjuk-nunjuk.

“Kontroversi yang tercetus berkaitan perkara ini telah memaksa polis mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat kekal terpelihara, ” katanya,

Pada Jumaat, Ebit Lew memuat naik status di laman Facebook meluahkan perasaan berikutan niatnya membantu golongan kurang berkemampuan disalahertikan dan dipertikaikan oleh segelintir pihak.

Malah, beliau turut mengumumkan untuk tidak lagi keluar berkhidmat memberi bantuan sepanjang tempoh PKP selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman.

Ebit Lew, PKP, PDRM, kertas siasatan, sumbangan

Artikel Lain