suria

Elak menjangkiti atau dijangkiti... Rider perlu jalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan hantar makanan - Dr Noor Hisham

KKM menggalakkan penghantar makanan untuk tampil ke depan untuk melakukan ujian saringan. Foto: The Star

PENGHANTAR makanan atau rider akan dipertimbangkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 selepas ini, demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan golongan berkenaan bebas daripada risiko dijangkiti wabak berkenaan ataupun menjangkiti individu lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider buat hal bangga tayang rokok seludup dalam box, geng lain bengang - “Sebab dia semua orang dapat susah”

ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum

"Apa yang pasti kita akan laksanakan ujian untuk mereka iaitu ujian saringan. Ia boleh dilaksanakan sama ada di klinik kesihatan atau klinik swasta.

"Jika didapati mereka sihat baru dibenarkan untuk menghantar makanan," katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Sehubungan itu kata Dr Noor Hisham, pihaknya menggalakkan penghantar makanan untuk tampil melakukan ujian berkenaan.

"Kita akan berbincang mengenai kaedah terbaik. Kalau yang berdaftar, tak ada masalah. Cuma kalau yang tak berdaftar, mereka kena lihat kepentingan kesihatan mereka," katanya lagi.

Terdahulu beliau ditanya mengenai saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan wujud kes penghantar makanan disahkan positif Covid-19 sehingga menjangkiti pelanggannya di luar negara.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, sehingga kini KKM belum mempunyai data yang menyatakan penghantar makanan di negara ini dijangkiti wabak berkenaan.

Media baru-baru ini melaporkan seorang penghantar pizza di New Delhi, India yang telah membuat penghantaran makanan kepada 72 keluarga dalam tempoh 20 hari lalu disahkan positif Covid-19.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Dr Noor Hisham berkata KKM akan mengikut jejak langkah Singapura yang melakukan saringan terhadap pekerja warga asing di negara mereka.

Tambahnya, KKM sedang dalam perancangan untuk memulakan saringan berskala besar kerana pekerja asing turut menjadi sebahagian daripada kumpulan sasaran.

"Jadi kita sedang embarking big scale screening terhadap pekerja asing juga. Sebab itu adalah sebahagian daripada kumpulan tumpuan kita.

"Dan lokasi juga, kita melihat sesetengah lokasi panas contohnya Wilayah (Persekutuan) dan Selangor. Kita kenal pasti lokasi dan kita teruskan menyaring. Kita amalkan targeted screening approach. Kita buat ujian kepada setiap mereka menerusi pendekatan ini.

"Contohnya di Simpang Renggam, Hulu Langat, Menara City One, Malayan Mansion dan Selangor Mansion, secara asasnya kita bila lockdown kawasan tersebut ataupun laksanakan PKPD, kita saring semua di sana," katanya lagi.  


rider, ujian, Covid-19

Artikel Lain