suria

JP Morgan ramal Malaysia catat 6,300 kes Covid-19 pertengahan April, KKM sasar kurang 5,000 kes esok!

Ujian saringan Covid-19 dilakukan oleh petugas kesihatan. Foto Bernama

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu jelas membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, analisis JP Morgan meramalkan kadar jangkitan di negara ini mencapai kemuncaknya pada 14 April iaitu sebanyak 6,300 kes.

“Hari ini, kita menyaksikan sebanyak 4,817 kes. Sasaran kita adalah kadar yang lebih rendah daripada 6,300 kes seperti yang diramalkan oleh JP Morgan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta tabligh korban terkini Covid-19, jumlah positif baharu 134 kes

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Bali libatkan 20 individu termasuk 3 di ICU, seorang meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Total 25 kluster, sub-kluster positif Covid-19 dikesan - Dr Noor Hisham

“Kita sudah tentu melakukan yang lebih baik dan mungkin esok jumlahnya adalah lebih rendah daripada 5,000 kes, itu jangkaan kita.

“Ini bermakna tindakan kita terhadap PKP menerusi fasa pertama dan kedua adalah berhasil. Ia menunjukkan tanda-tanda kita dapat mengurangkan kes dengan unjuran data yang mendatar,” katanya pada sidang media, petang Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun ketika ini mungkin dianggap sebagai peringkat pemulihan tetapi pemantauan secara teliti terhadap kes jangkitan masih dijalankan.

“Ini kerana kita masih belum dapat mengurangkan jumlah kes dengan lebih banyak. Jadi, kita perlu terus mengurangkannya lagi.

“Sebab itulah PKP fasa ketiga yang dilaksanakan adalah amat penting bagi jumlah kes menurun dengan lebih banyak. 

“Jika kita dapat melakukannya, terdapat kemungkinan jumlah kes menurun bukan sahaja mendatar malah menamatkan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha itu perlu ditangani oleh semua pihak dan bukan sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika kita semua dapat bekerjasama, saya pasti kita dapat melakukannya,” tambahnya.

Kerajaan mengumumkan PKP fasa pertama dari 18 Mac hingga 31 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ia kemudian dilanjutkan kepada fasa kedua dari 1 April hingga 14 April dan kini tempoh PKP memasuki fasa ketiga bermula 15 April hingga 28 April.

JP Morgan, PKP, Covid-19

Artikel Lain