suria

Tindak balas virus Covid-19 dan HIV berbeza, tiada jangkitan berulang direkod di Malaysia - Dr Noor Hisham

Jangkitan semula boleh berlaku tetapi tahap positifnya lemah.

DATUK Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan virus SARS-Cov-2 yang menyebabkan wabak Covid-19 tidak mempunyai sebarang persamaan dengan jangkitan HIV.

Berbeza dengan HIV, ketua pengarah kesihatan itu berkata, proses pembentukan Covid-19 secara dasarnya berlaku menerusi dua peringkat iaitu aktiviti jangkitan dan inflamasi.

"Apabila virus itu masuk ke dalam rongga paru-paru dan organ lain ia akan aktif dan masuk ke dalam sel badan. Tindak balas terhadap badan yang menyebabkan berlaku inflamasi. Ia boleh membawa maut, berbeza dengan HIV," katanya pada sidang media yang diadakan di Putrajaya pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata demikian sebagai menjelaskan ada dakwaan mengatakan Covid-19 menyerupai penyakit HIV yang mampu menjejaskan tindak balas sistem pertahanan badan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu setakat ini di Malaysia masih belum ada kes pesakit yang bebas Covid-19 kembali dijangkiti wabak tersebut.

Bagaimanapun katanya, meskipun potensi jangkitan semula rendah namun sebagai langkah pencegahan pihaknya akan sentiasa memastikan pesakit melalui sesi kaunseling dan mengambil langkah tertentu untuk menghalang ia berulang.

"Kemungkinan itu ada tetapi kita kena lihat juga tahap ia kembali positif sama ada lemah atau kuat, selain faktor ada terdedah kepada persekitaran yang menyebabkan jangkitan berulang.

"Ada kes kembali positif tetapi ia lemah. Setakat ini, di Malaysia tiada lagi kes berulang dilaporkan," jelasnya.

Covid-19, HIV, Dr Noor Hisham

Artikel Lain