suria

Padah sebar fitnah polis melepak di Pantai Chenang, lelaki langgar PKP ditahan

Lelaki yang menyebar fitnah itu mendakwa anggota polis melepak di Pantai Chenang, Langkawi.

TINDAKAN seorang lelaki memuat naik status berbaur fitnah dan menghina polis di laman sosial Facebook di sini petang Khamis membawa padah apabila dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berkenaan didakwa memuat naik status dan gambar kononnya polis sedang rehat ataupun lepak di sebuah gerai di Pantai Chenang pada tengah hari, hari sama.

Beliau menegaskan, dakwaan lelaki tersebut adalah tidak berasas dan tuduhan berkenaan boleh menjatuhkan moral petugas barisan hadapan selain menimbulkan salah faham masyarakat.

"Sebenarnya, anggota dari unit Polis Pelancong Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi hanya duduk makan tengah hari setelah lebih kurang tiga jam melakukan rondaan dan berjalan kaki di kawasan pantai tersebut.

"Susulan dakwaan itu, pihaknya menahan lelaki berusia 51 tahun itu di pekarangan Balai Polis Padang Matsirat pada 3.10 petang," katanya dalam satu kenyataan Jumaat malam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di tempat berkenaan tanpa alasan munasabah.

Katanya, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.-SinarHarian.com.my


Pantai Chenang, PKP, Langkawi, fitnah

Artikel Lain