suria

Wanita baru pulang dari Jepun disahkan positif Covid-19

Kes terbaru membabitkan warga tempatan berusia 53 tahun yang baru saja pulang dari Jepun.

DUA wanita warganegara asing masing-masing seorang rakyat China dan Amerika Syarikat yang disahkan positif COVID-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada wad pada Khamis, menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sehingga kini, 22 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua wanita berkenaan masing-masing dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Sungai Buloh.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan dua kes iaitu kes ke-16 dan kes ke-22 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih sepenuhnya.

“Kes ke-16 merupakan wanita warganegara China berumur 67 tahun manakala kes ke-22 ialah seorang wanita warganegara Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata seorang wanita tempatan berusia 53 tahun, yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun disahkan positif, menjadikan ia kes yang ke-23.

Katanya, pesakit itu pulang dari negara berkenaan pada 23 Februari lepas dan mula mempunyai gejala deman keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Sehingga hari ini, seramai 1,570 individu telah diambil sampel bagi pengesanan COVID-19 yang terdiri daripada pesakit dalam siasatan (PUI), kontak rapat, Misi Bantuan Kemanusian dan kapal persiaran Dream World.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 23 kes disahkan positif COVID-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata keputusan makmal kepada 66 individu yang telah dibawa pulang dari Wuhan, China semalam dan telah menjalani tapisan kesihatan pengesanan COVID-19 menunjukkan tiada individu yang bergejala dan didapati negatif.

Mereka ditempatkan di pusat pemantauan bagi menjalani pemantauan kesihatan selama 14 hari, kata Dr Noor Hisham. - BERNAMA

Covid-19, Jepun, KKM

Artikel Lain