suria

Hilang dihanyut ombak, 4 pelajar politeknik ditemui mati lemas di Pantai Teluk Bidara

Mayat salah seorang mangsa yang ditemui. FOTO: BERNAMA.

KEEMPAT-empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi manda di Pantai Teluk Bidara, Terengganu, Jumaat lepas, ditemukan mati lemas pada Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Sharikan Bustaman berkata mayat terakhir iaitu Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, ditemukan terapung pada 3 petang oleh pasukan penyelamat, kira-kira dua batu nautika dari Pantai Teluk Bidara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau lemas jangan angkat tangan, buka seluar dulu…” - Teknik elak lemas jurulatih renang buat netizen kagum

Mohamad Amir Izzudin yang berasal daripada Air Keroh, Melaka adalah atlet silat olahraga negeri itu.

Sementara itu, mayat Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan daripada Kuala Terengganu ditemukan pada 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed daripada Kuantan, Pahang pula ditemukan terapung pada 12.09 tengah hari oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer daripada mayat Muhammad Ikhwan, katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki daripada Kemaman ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan; dan Mohamad Amir Izzudin, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sharikan berkata keempat-empat mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA.

lemas, teluk bidara, jenazah

Artikel Lain