suria

Armada gantung Adhif Syan, Ahmad Redzuan daripada tugas serta-merta – “Moga siasatan dijalankan dengan lancar dan adil”

Syed Saddiq berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Ketua Armada Nasional.

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) menggantung serta merta dua pimpinannya susulan penahanan 17 individu dalam satu operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Isnin lalu.

Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah digantung serta-merta daripada jawatannya sebagai Ketua Armada Selangor.

Tindakan sama turut diambil ke atas Penolong Setiausaha Armada Nasional, Ahmad Redzuan Mohamad Shafi.

ARTIKEL BERKAITAN: Adun Selangor, 4 pegawai khas politik antara 17 yang ditahan dalam parti dadah

Syed Saddiq berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Ketua Armada Nasional.

“Jawatan Ahmad Redzuan akan dipangku Exco Armada Nasional, Danial Syahiran Ho Imran Ho manakala jawatan Adhif Syan akan dipangku Timbalan Ketua Armada Selangor, Anas Akashah Nazri.

“Penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga selesai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes melibatkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, Armada berharap supaya siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan adil mengikut lunas undang-undang negara.

“Pihak Armada merakamkan ribuan terima kasih atas khidmat dan bakti mereka sepanjang memegang jawatan sebagai pimpinan Armada Malaysia,” katanya.

Isnin lalu, polis menahan 17 individu termasuk Adhif Syan dan empat pegawai khas ahli politik dalam satu operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Hasil siasatan lanjut, polis turut menemui serbuk dipercayai dadah dan rokok dipercayai berisi ganja dan saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah. - SINAR HARIAN

Artikel Lain