suria

Kerajaan batal hasrat jual PLUS, kadar tol turun 18 peratus bermula tahun ini

Menurut Dr Mahathir, kerajaan telah mengkaji bidaan yang dilakukan oleh semua pihak dan memutuskan cara terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat menjual konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Menurutnya, perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan ambil alih 4 lebuh raya, kadar tol jambatan kedua P.Pinang diturunkan

ARTIKEL BERKAITAN: Tol dihapus secara berperingkat bukan serta merta

"Kita telah mengkaji bidaan yang dilakukan oleh semua pihak dan memutuskan cara terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak.

"Sebaliknya (PLUS) terus kekal bersama Khazanah Nasional Bhd dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

"Mereka tidak perlu membeli apa-apa (pegangan saham) dan boleh menurunkan kadar tol tanpa memberi kesan besar kepada pendapatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya, syarikat konsesi itu juga akan menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula tahun ini bagi tempoh 30 tahun.

"Ini bermakna kadar tersebut sangat rendah (buat pengguna lebuh raya PLUS).

"Kita sedar akan berlaku peningkatan kenderaan tetapi apa yang bakal diperolehi mereka (PLUS) tidak setinggi yang disangka kerana nilai tersebut akan mengecil pada masa akan datang," katanya.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada Oktober tahun lalu mengesahkan menerima empat tawaran mengambil alih kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam konsesi lebuh raya PLUS.

Katanya, empat syarikat yang mengemukakan tawaran itu ialah Widad Business Group (WBG), Maju Holding Sdn Bhd dan RRJ Capital, selain ahli perniagaan yang juga jutawan, Tan Sri Halim Saad. - SINAR HARIAN

Artikel Lain