suria

Wow! Setem muka sendiri curi tumpuan, bangkit semangat patriotisme

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa (tiga, kanan) mencuba kamera video model Aaton buatan Perancis pada 1970 yang dipamerkan kepada orang ramai sempena Pameran MyMerdeka 'Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih 2019 di Seremban 2. Foto Bernama

SETEM yang boleh mencetak muka sendiri mencuri tumpuan pengunjung yang berkunjung ke Pameran MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 di Seremban, Negeri Sembilan.

Penyelaras pameran, Helmy Hisham Hamat Basir berkata pameran tiga hari bermula Sabtu itu, bertujuan memupuk minat dan memberi pendedahan tentang ciri dan keunikan setem kepada orang awam khususnya golongan remaja.

"Cetakan setem ini bukan sahaja membolehkan pengguna menjadikan ia sebagai simpanan koleksi peribadi malah mengingatkan mereka tentang perasaan cinta akan tanah air sendiri.

"Kita dapat lihat cetakan wajah mereka pada setem ini membangkitkan semangat patriotisme seperti menggunakan latar belakang kemerdekaan sebagai simbolik Sayangi Malaysiaku untuk memperingati Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia," katanya kepada Bernama.

Mengulas lebih lanjut, cetakan setem yang diberi nama 'Setemku' ini boleh diambil di reruai yang telah disediakan dengan harga antara RM10 sehingga RM22.50.

Kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang berkunjung ke reruai Pos Malaysia untuk mengambil gambar bagi mengabadikan wajah sendiri dalam koleksi setem itu.

Seorang pengunjung Nur Hafzan Abdullah, 39, berkata beliau teruja dan tidak melepaskan peluang untuk mempunyai setem dengan gambar sendiri.

"Ini pertama kali saya mengetahui wajah kita sendiri boleh dicetak pada setem. Jadi saya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mengabadikan gambar saya sendiri sebagai koleksi peribadi setem bagi tatapan anak-anak dan cucu nanti," katanya.

Program Pameran MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama lima agensi iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Finas, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Pos Malaysia. - Bernama

Pos Malaysia, setem, MyMerdeka

Artikel Lain