suria

Sambutan hangat aksi Malaysia-UAE di Istana Negara

Bahang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, antara pasukan Harimau Malaya dan UAE turut dirasai pada Majlis Santapan Malam Terima Kasih bersama petugas yang terlibat dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Selasa malam. Kelihatan Tunku Azizah meluangkan masa menyaksikan perlawanan sambil menyanyikan lagu bertajuk Kasih pada majlis tersebut. Foto Bernama

BAHANG perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara pasukan Harimau Malaya dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut dirasai di Istana Negar pada Selasa malam apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meluangkan masa menyaksikan perlawanan tersebut.

Al-Sultan Abdullah menyaksikan perlawanan tersebut bersama kira-kira 600 tetamu yang hadir pada Majlis Santapan Malam Terima Kasih bersama petugas yang terlibat dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Turut menyaksikan perlawanan itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tewas kepada UAE 1-2

Suasana di dalam Dewan Santapan Utama turut gamat seketika apabila beberapa percubaan Harimau Malaya hampir membolosi pintu gawang pasukan lawan.

Malaysia kini mengungguli saingan Kumpulan G dengan tiga mata mengatasi Thailand dan Vietnam dengan satu mata di tempat kedua dan ketiga sementara perlawanan pada Selasa malam merupakan aksi sulung buat pasukan UAE.

Pada aksi pertama kempen kelayakan itu, Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Khamis lepas.

Tetamu pada malam itu turut menerima ‘hadiah istimewa’ daripada Tunku Azizah yang berkenan menyanyikan lagu ‘Kasih’ yang dipopularkan oleh penyanyi, Hetty Koes Endang. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penggali kubur jumpa bom

Artikel Lain