Kronologi kehilangan Nora Anne - Semasa | mStar

Kronologi kehilangan Nora Anne

Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.

BERIKUT kronologi kehilangan remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di sebuah resort di Seremban, Negeri Sembilan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Mayat Nora Anne

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan awal dapati mayat adalah Nora Anne - TKPN

3 Ogos 2019 – Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019 – Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.

4 Ogos 2019 – Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.

4 Ogos 2019 – Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019 – Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.

Nora Anne.

5 Ogos 2019 – Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.

5 Ogos 2019 – Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.

5 Ogos 2019 – Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.

6 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

7 Ogos 2019 – Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.

7 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

Operasi SAR di Gunung Berembun.

8 Ogos 2019 – Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).

8 Ogos 2019 – Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.

8 Ogos 2019 – Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

9 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.

9 Ogos 2019 – Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.

9 Ogos 2019 – Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.

10 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.

10 Ogos 2019 – Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

10 Ogos 2019 – Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.

11 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.

Meabh Jaseprine Qouirin (tengah) dan Sebastian Marie Philipe (kiri), ibu dan bapa Nora Anne.

11 Ogos 2019 – Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

12 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

12 Ogos 2019 – Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.

12 Ogos 2019 – Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.

12 Ogos 2019 – Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.

12 Ogos 2019 – Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.

13 Ogos 2019 – Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.

13 Ogos 2019 (8.55 malam): Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman. - BERNAMA

Artikel Lain