suria

Lebih 1,400 warga asing ditahan dikaitkan aktiviti pelacuran

Seramai 1,401 warga asing ditahan dalam aktiviti berkaitan pelacuran dari Januari sehingga Jun 2019. Foto AFP

POLIS menahan 1,401 warga asing kerana terlibat dengan kegiatan pelacuran di Kuala Lumpur tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah itu, 1,167 perempuan dan 234 lelaki ditahan sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019.

"Kita menjalankan 653 serbuan, dan 420 kes didakwa di mahkamah.

"Seramai 317 warga Vietnam ditahan, diikuti Thailand seramai 275 orang, China seramai 227 orang. Manakala, 569 warga tempatan turut ditahan, termasuk 242 wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mazlan berkata, tindakan saman untuk premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat pusat hiburan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan turut dikeluarkan iaitu sebanyak 136 saman.

Untuk tempoh sama, pihak polis juga giat memerangi kegiatan perjudian dalam talian dan berjaya menangkap seramai 794 orang, kerana terlibat dengan kegiatan itu.

Sebanyak 89 serbuan diadakan dan pihak polis berjaya merampas wang tunai RM98,357 dan 111 buah tablet, 1,100 buah telefon, dua buah Ipad, 333 buah komputer riba, 522 buah komputer, 101 modem, 55 router serta tiga simulator.

"Kita juga menjalankan 280 serbuan ke atas aktiviti perjudian konvensional dengan 388 penahanan dibuat tahun ini.

"Daripada serbuan itu, kita merampas wang tunai berjumlah RM97,393," katanya yang menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. - The Star

pelacuran, perjudian, warga asing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain