suria

Azmin dakwa video seks kerja jijik, komplot jahat jatuhkan karier politiknya

Mohamed Azmin

SELEPAS dua hari gempar dengan video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet menjadi tular di media sosial, akhirnya Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuka mulut mengenai perkara tersebut.

Tambah memanaskan keadaan apabila salah seorang lelaki dalam video berkenaan, Muhammad Haziq Abdul Aziz tampil dengan pengakuan bersumpah pada pagi Rabu berhubung insiden yang didakwa berlaku di sebuah bilik hotel di Sandakan pada 1 Mei lalu.

Kenyataan penuh Mohamed Azmin seperti berikut:

"Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

"Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya.

"Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadhan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politik. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohamed Azmin, beliau sudah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

"Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

"Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

"Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini."

Mohamed Azmin, video Seks

Artikel Lain