suria

Bekas Exco Johor, anak bebas 37 pertuduhan

Abdul Latif Bandi (tengah) bersama anaknya Ahmad Fauzan Hatim Abd Latif (dua, kanan) dan perunding hartanah Amir Sharifuddin Abd Raub (dua, kiri) berpelukan sebaik dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad. fotoBERNAMA

BEKAS Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, anak lelakinya dan seorang perunding hartanah pada Ahad didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta, dua tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan melepas dan membebaskan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin Abd Raub.

Dalam penghakimannya, Kamarudin berkata mahkamah membuat keputusan itu kerana mahkamah tidak boleh memutuskan kes hanya berdasarkan keterangan mencurigakan semata-mata.

"Mahkamah juga mendapati tiada niat jahat bersama antara ketiga-tiga tertuduh selain saksi yang dikemukakan dicurigai kredibiliti dan niat mereka.

"Pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan saksi iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Negeri lain berhubung pertikaian keputusan meluluskan pertukaran status lot hartanah Bumiputera," katanya.

Abdul Latif, 53, anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 27 serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin, 46 didakwa melakukan kesalahan membabitkan rasuah pada April 2017 mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka juga turut didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram pada Jun 2017 mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sepanjang 40 hari perbicaraan, seramai 63 saksi dipanggil dan 1,071 eksibit dikemukakan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Putrajaya Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman manakala kesemua tertuduh diwakili 11 barisan peguam diketuai Datuk Hasnal Redzua Merican.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Abdul Latif dan anaknya, Ahmad Fauzan dilihat menangis sambil berpelukan dan melahirkan rasa bersyukur atas keputusan tersebut dan menyifatkan kemenangan amat berharga khususnya berlaku di dalam bulan syaaban.

Turut kelihatan ahli keluarga serta penyokong mereka yang hadir memberi sokongan terhadap kesemua mereka. - BERNAMA

Artikel Lain