suria

Tampar, ugut kapak isteri sebab tak belikan kereta

Gambar sekadar hiasan.

SEORANG suami bertindak menampar dan mengugut untuk mengapak isterinya dan membakar rumah mereka, gara-gara tidak dibelikan kereta.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan polis selepas isterinya berumur 45 tahun membuat laporan polis pada Isnin, empat hari selepas insiden berlaku.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu, di kediaman mereka di Kg Sapagaya Hilir di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor pada Selasa berkata, isteri suspek dan tiga anaknya lari dari rumah mereka pada Jumaat lalu, dan bersembunyi di rumah abangnya sebelum membuat laporan polis pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan suaminya yang merupakan warga Indonesia itu bertengkar dengan isterinya, seorang guru, apabila pulang ke rumah selepas menjemput anak-anak dari sekolah.

Mangsa mendakwa suspek menamparnya apabila memberitahu bahawa dia tidak mampu membelikannya kereta.

Suspek juga mengugut untuk mencederakannya menggunakan kapak dan membakar rumah mereka.

Nasri berkata, polis menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Sapagaya Hilir pada pukul 3.50 petang, hari yang sama laporan dibuat.

Turut dirampas adalah kapak yang digunakan suspek semasa bertengkar dengan isterinya.

Menurut beliau, suspek didapati positif dadah.

Siasatan polis menunjukkan suspek berkahwin dengan mangsa pada 8 Februari tahun lalu, dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan mereka.

Ia merupakan perkahwinan ketiga bagi mangsa, yang mempunyai dua lagi anak daripada perkahwinan pertama. - The Star

Artikel Lain