suria

Remaja dibelasah sebab tolak sertai geng

Gambar sekadar hiasan.

SEORANG remaja dipukul oleh rakan-rakannya sendiri kerana menolak tawaran untuk menyertai kumpulan mereka.

Insiden berlaku semasa mangsa berusia 17 tahun sedang menunggu seorang rakan di sebuah premis di Jalan Sutera Tanjung 8/3 di Taman Ungku Tun Aminah di Kulai, Johor, kira-kira pukul 3.50 pagi pada 22 Mac lalu.

Ketika kejadian, mangsa dihampiri enam kereta.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, tujuh remaja yang dikenali mangsa di sekolah menolaknya ke dalam salah sebuah kereta sebelum beredar.

"Mangsa kemudian diacukan dengan pisau dan ditutup mata oleh suspek dalam kereta.

"Bila mereka sampai ke satu lokasi, mangsa dipukul kerana menolak tawaran untuk menjadi sebahagian daripada Geng 265 dan 21," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beng Yeow berkata, mangsa yang cedera di kepala, badan dan patah jari kedua-dua tangannya ditinggalkan di ladang kelapa sawit dekat Senai di Kulai.

Berdasarkan siasatan awal, beliau memberitahu, polis menahan tiga suspek berusia antara 16 dan 18 tahun, di Indahpura dan Taman Ungku Tun Aminah, pada Isnin.

Menurut Beng Yeow, suspek direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Akta yang sama. - The Star

Artikel Lain