suria

Taufik wira cilik gempa Lombok terima hadiah pendengaran daripada doktor Malaysia

Taufik (kanan), hero cilik Lombok yang tidak boleh mendengar dan bertutur, bakal berakhir selepas seorang doktor dari Malaysia menawarkan kepakarannya untuk merawat kanak-kanak OKU warga Indonesia itu. Foto The Jakarta Post/ANN

PENDERITAAN selama 12 tahun Taufik, hero cilik Lombok yang tidak boleh mendengar dan bertutur, bakal berakhir selepas seorang doktor dari Malaysia menawarkan kepakarannya untuk merawat kanak-kanak OKU warga Indonesia itu.

Terkesan dengan kisah Taufik yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain, pakar bedah telinga sebuah hospital swasta di ibu negara, Prof Datuk Dr Lokman Saim tampil untuk membantu kanak-kanak malang itu.

“Rakan saya memaklumkan mengenai kekurangan Taufik setelah membaca laporan di akhbar dan terus menghubungi saya. Setelah melihat gambar Taufik yang tidak mempunyai cuping telinga, saya tahu itu adalah satu daripada pengkhususan perawatan saya.

“Saya juga telah menghubungi Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk memberitahu mengenai kesediaan saya merawat Taufik kerana difahamkan badan bukan kerajaan itu yang mencari dana untuk membantu Taufik,” katanya kepada Bernama News Channel (Astro saluran 502) di Kuala Lumpur, Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa Lombok: Budak pekak bisu bantu rakyat Malaysia diangkat sebagai wira

Lokman berkata, hasil laporan saringan awal kesihatan yang dijalankan oleh doktor yang merawat Taufik di Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat telah diperoleh beliau pada Isnin.

“Setelah meneliti laporan tersebut saya dapati berkemungkinan besar Taufik tiada cuping yang normal, tiada liang (lubang) telinga tetapi menerusi CT Scan yang dibuat, dia mempunyai koklea iaitu alat pendengaran paling dalam. Bagaimanapun saya akan membuat pemeriksaan klinikal sekali lagi.

“Terdapat dua prosedur yang boleh dibuat iaitu pembedahan biasa untuk membuat liang telinga atau menanam implan dikenali sebagai ‘Bone Conduction Hearing Implant' (BAHA) iaitu sejenis alat yang ditanam di belakang cuping telinga bagi meningkatkan pendengaran pesakit,” katanya.

Dr Lokman berkata, beliau akan berlepas ke Lombok Khamis ini dan menemui Taufik untuk menjalankan saringan akhir bagi menentukan prosedur yang terbaik untuk merawatnya.

Menurutnya, setelah Taufik boleh mendengar, rawatan susulan seperti terapi pertuturan akan diberikan bagi membolehkan kedua-dua anggota badan tersebut berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, Bernama News Channel yang mengikuti misi kemanusiaan #peduligempalombok melaporkan mengenai Taufik yang dinamakan sebagai ikon ‘hero cilik' oleh GPM Malaysia setelah menyelamatkan enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Air Terjun Tiu Kelep di Senaru, Lombok, 17 Mac lepas.

Dalam kejadian gempa bumi itu, dua rakyat Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Tai Siew Kim dan seorang lagi peserta dikenali sebagai Lim Sai Wah dilaporkan maut. - Bernama

Artikel Lain