suria

Haziq masih hilang, “Kami harap dia selamat” - Saifuddin

SETAKAT pukul 11 pagi Sabtu waktu Malaysia, remaja berusia 17 tahun Muhd Haziq Tarmizi masih hilang susulan insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tiga rakyat Malaysia yang cedera kini dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan yang dialami.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiga rakyat Malaysia mangsa serangan NZ selamat” - Dr Mohamad Firdaus

Mereka ialah Rahimi Ahmad, 39, Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dan bapa Muhd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 46.

Kata Saifuddin, seorang lagi anak Mohd Tarmizi Muhd Haris, 12, masih trauma dan mendapat rawatan di sebuah hospital kanak-kanak.

"Kami berdoa agar mangsa yang cedera segera pulih dan semoga Muhd Haziq ditemui tidak lama lagi, kami harap dia selamat," kata Saifuddin selepas merasmikan mesyuarat persatuan guru-guru Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama di sini.

Beliau menambah bahawa Wisma Putra akan membantu membawa ahli keluarga mangsa ke Christchurch.

Serangan terhadap dua masjid di Christchurch pada Jumaat menyebabkan 49 orang ditembak mati dan lebih daripada 40 orang cedera.

Kami berdoa agar mangsa yang cedera segera pulih dan semoga Muhd Haziq ditemui tidak lama lagi, kami harap dia selamat.

SAIFUDDIN

Menteri Luar

Saifuddin berkata, terdapat kira-kira 1,000 rakyat Malaysia di Christchurch, termasuk 208 daripadanya merupakan pelajar.

"Setakat yang kita tahu, semua pelajar selamat, begitu juga dengan rakyat Malaysia yang lain.

"Pihak berkuasa New Zealand telah menahan suspek dan mereka berjaya meredakan keadaan," kata Saifuddin sambil menambah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Nur Izzah Wong Mee Choo melaporkan keadaan adalah stabil.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan ke New Zealand buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar rakyat Malaysia di Christchurch untuk terus berjaga-jaga dan menghubungi Suruhanjaya Tinggi jika mereka berada dalam kesukaran.

Saifuddin juga berkata pegawai diplomatik dan atase tentera daripada Suruhanjaya Tinggi di Wellington tiba di Christchurch untuk memberi bantuan, sementara seorang pegawai kanan dari Wisma Putra sedang dalam perjalanan ke negara itu. - The Star

Saifuddin, Wisma Putra

Artikel Lain