suria

“Tiga rakyat Malaysia mangsa serangan NZ selamat” - Dr Mohamad Firdaus

Dr Mohamad Firdaus (kiri) ketika melawat Rahimi di Hospital Christchurch. - Facebook Mohamad Firdaus

SEORANG doktor warga Malaysia yang berkhidmat di Hospital Umum Christchurch, New Zealand mencela pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu berhubung kematian rakyat negara ini yang menjadi mangsa serangan pengganas di negara berkenaan.

Dr Mohamad Firdaus Mohamad Hanib mengesahkan ketiga-tiga mangsa serangan tembakan rambang di dua masjid tersebut masih hidup.

Menerusi posting terkini yang dimuat naik oleh doktor tersebut pada pukul 12 tengah hari waktu Malaysia, beliau memaklumkan bahawa Rahimi Ahmad dan Nazril Hisham Omar berada dalam keadaan stabil, manakala Mohd Tarmizi Shuib pula masih menjalani pembedahan.

"Diceritakan atas keizinan isteri (Rahimi). Abang Rahimi stabil setakat ini, tapi masih memerlukan beberapa lagi pembedahan untuk membuang fragmen (tidak pasti fragmen peluru atau tulang dan sebagainya) dalam dural space (ruang dural).

"Beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi). Keluarga beliau dan Exco Pulau Pinang dalam perjalanan ke sini (Hospital Christchurch)," ujarnya pada posting tersebut.

Tambah Dr Mohamad Firdaus, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut membuat lawatan mengejut kerana bersimpati terhadap insiden yang menimpa mangsa serangan.

Ardern (dua dari kiri) ketika melawat Rahimi di ICU. - Facebook Dr Mohamad Firdaus

Menurut doktor tersebut, Nazril Hisham berada di wad biasa dan kini dalam keadaan stabil.

Mangsa tidur sambil ditemani anaknya, Daniel selepas menjalani prosedur imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).

"Nazril berada di wad biasa, stabil. Anaknya Daniel yang berusia 17 tahun menemani beliau selepas scan MRI.

"Gambar dan butir kecederaan mereka saya tak dedahkan sebab tak dapat kebenaran pesakit yang masih tidur," jelas Dr Mohamad Firdaus.

Beliau turut memohon agar pengguna media sosial tidak bertanyakan tentang butiran lanjut mengenai mangsa kerana terikat dengan prinsip maklumat sulit pesakit.

Doktor berkenaan memberitahu, beliau hanya dapat berkongsi maklumat tertentu dan mengingatkan orang ramai supaya video tembakan rambang tersebut tidak disebarkan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Christchurch, masjid

Artikel Lain