Kisah piza mini Cikgu Alia buat Pizza Hut 'sebak', lepas ini 32 murid bakal terima penghantaran piza sebenar! - Viral | mStar

Kisah piza mini Cikgu Alia buat Pizza Hut 'sebak', lepas ini 32 murid bakal terima penghantaran piza sebenar!

Cikgu Alia bersama 32 murid di sekolah tersebut menikmati piza mini dihasilkannya. Foto ihsan Cikgu Alia

HATI seorang guru tiba-tiba sebak apabila anak muridnya bertanyakan bagaimana rasa makanan segera yang popular di negara ini iaitu piza.

Nuralia Nadera Mohamad atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Alia berkongsi kisah itu dalam satu bebenang di Twitternya.

Perkongsian menyentuh hati itu menjadi tular sehingga diulang kicau lebih 6,000 kali dan mendapat 4,840 tanda suka.

Menurut Cikgu Alia, kisah tersebut bermula apabila dia yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sebuah sekolah rendah di daerah Daro, Sarawak, meminta anak muridnya melukis piza.

"Kebetulan saya tengah mengajar topik makanan dengan murid Tahun 2. Memandangkan topik itu ringan, jadi saya berborak dengan mereka dan minta mereka lukis apa sahaja makanan yang mereka suka.

"Kemudian saya panggil seorang murid untuk melukis piza. Lepas tu saya tanya lagi... siapa pernah makan piza angkat tangan. Tapi tiada siapa yang angkat. Tiba-tiba ada seorang murid beritahu mereka tak pernah makan piza," katanya kepada mStar Online.

Seorang murid Cikgu Alia seronok dapat makan piza mini.

Dek kerana kasihan dan rasa serba salah dengan anak muridnya, Cikgu Alia berhasrat untuk menghasilkan sendiri piza mini dengan bantuan ibunya untuk dinikmati seramai 32 anak muridnya.

"Saya rasa serba salah dan kasihan pada mereka kerana piza adalah makanan yang popular. Jadi saya rasa mereka patut rasa keenakan piza yang diminati ramai. Kasihan kalau mereka hanya tengok dalam buku tapi tak pernah rasa makanan itu.

"Kebetulan masa tu seminggu sebelum hari lahir saya. Jadi saya beritahu ibu saya mengenai perkara itu. Ibu saya memang dah lama kerja di kedai roti tapi sekarang dah bersara. Jadi ibu bagi saya idea untuk hasilkan piza mini untuk mereka," katanya.

Gadis berusia 24 tahun itu akhirnya membawa piza mini itu ke sekolah pada Selasa lalu.

"Memandangkan hari lahir saya jatuh pada hari persekolahan, jadi saya buat keputusan untuk sambut dengan anak murid saya pada waktu rehat.

"Alhamdulillah mereka seronok dan suka. Selepas sambutan hari lahir saya tempoh hari, setiap kali bila masuk kelas mereka akan minta saya bawa piza lagi'," katanya.

Jelas anak kelahiran Daro itu, sekolah tersebut yang terletak di pedalaman Sarawak hanya mempunyai 32 murid.

Semua pelajar dapat menikmati piza buat pertama kalinya.

"Semua murid dapat menikmati piza yang saya buat kerana ia sekolah kurang murid (SKM) di kawasan Daro. Hanya ada 32 murid sahaja.

"Jadi saya sambut dengan mereka semua. Walaupun tak ramai tapi saya seronok mengajar. Saya kenal perangai setiap murid saya," katanya.

Susulan perkongsian Cikgu Alia, jenama terkenal Pizza Hut turut memberi maklum balas mengenai perkara itu.

"Kami amat tersentuh dengan cerita anda. Minta maaf kami tidak boleh berada dekat dengan anda tetapi jangan risau. Kami akan hantar piza kepada anak murid anda!.

"Piza adalah cinta dan kegembiraan kami. Kami mahu semua dapat menikmatinya! Sila mesej kami dan kami akan hantar piza tersebut. Jauh dari segi kilometer, tapi dekat di hati," tulis Pizza Hut Malaysia.

Reaksi Pizza Hut Malaysia terhadap tweet Cikgu Alia.

Cikgu Alia turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Pizza Hut Malaysia.

"Sebenarnya saya hanya berkongsi kisah ini di Twitter sekadar untuk suka-suka seperti yang dilakukan setiap hari. Tak sangka pula dapat perhatian.

"Alhamdulillah dan terima kasih Pizza Hut Malaysia. Mereka pun dah berhasrat untuk hantar piza ke sekolah kami pada masa terdekat," katanya.

Cikgu Alia , piza , Pizza Hut Malaysia

Artikel Lain

Sufi selamat bergelar suami Nurulain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia