suria

Ambil indakan tegas sebelum jadi 'barah' - Akmal

Akmal (dua dari kiri) pada Program Jelajah Harapan Demi Rakyat Pangkor minggu lalu.

KERAJAAN perlu bertindak tegas dalam usaha mengekang salah guna media sosial termasuklah menghina kepimpinan negara semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Ketua Armada Lumut, Akmal Maradzi berkata, kebebasan bersuara ada hadnya, jangan sampai menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.

"Memang benar, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan suara, tetapi menghina itu amat salah dan boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat Malaysia.

"Terbaharu ini, terdapat seorang yang mendakwa dirinya penganalisis politik bebas didapati telah menghina perdana menteri laman Facebooknya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Baru-baru ini, terdapat entri Facebook seorang lelaki dipercayai dari Sabah secara jelas menghina Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kata-kata jelik.

Video berdurasi 40.07 minit itu telah mendapat lebih 200 perkongsian di laman sosial.

Akmal berkata, kita boleh berbeza pendapat atau pandangan politik, namun tindakan menghina tidak sepatutnya dilakukan.

"Bersatu khuatir jika pihak berkuasa lewat mengambil tindakan, perkara yang sama akan berulang, mungkin akan dilakukan individu lain pula.

"Saya berharap tindakan tegas segera diambil kepadanya agar ia dapat menjadi pengajaran kepada pihak lain," katanya.

Dalam pada itu, Akmal turut mengulas Program Jelajah Demi Harapan Rakyat di Mukim Pangkor baru-baru ini yang melibatkan beberapa agensi dan jabatan kerajaan dalam usaha mendekati masyarakat setempat.

Lebih 2,000 orang pengunjung mendapatkan manfaat daripada program tersebut yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bahagian Pembangunan Luar Bandar Pejabat Daerah Manjung (PLB), Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM).

Turut bersama menjayakan program ini adalah Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan juga Biro Kebajikan Armada Bersatu Lumut.

“Kita mengharapkan agar lebih banyak lagi agensi dan jabatan kerajaan termasuk pihak swasta lain untuk bekerjasama dalam program seperti ini lagi,” ujar Akmal.

Akmal, Bersatu

Artikel Lain