Serangan pengganas NZ: Rakyat Malaysia stabil, hanya kata sakit selepas dihubungi isteri - Semasa | mStar

Serangan pengganas NZ: Rakyat Malaysia stabil, hanya kata sakit selepas dihubungi isteri

"SAKIT" hanya itu jawapan yang mampu diberikan oleh Nazril Hisham Omar, 46 ketika dihubungi oleh isterinya, Prof Madya Dr Zurinawati Mohyi pada kira-kira pukul 6 pagi Sabtu.

Nazril Hisham merupakan antara rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Zurinawati berkata ketika dihubungi suaminya itu dalam keadaan separa sedar tetapi telah stabil kerana baharu sahaja selesai menjalani pembedahan pertama di Hospital Christchurch.

"Kawan saya di sana hubungi saya beritahu jururawat yang merawat suami menyuruh saya hubungi suami untuk beri kata semangat, dan ketika saya hubungi dia, saya tanya, How are you? (awak bagaimana?) are you ok? (awak ok?), dia jawab sakit, do you remember me? (awak ingat saya ?), dia jawab ye, saya juga sempat bercakap dengan jururawat yang merawat suami saya, dia hanya berkata he's good he's with us (dia dalam keadaan baik, dia bersama kami).

"Sekarang menurut anak kedua saya Muhammad Haqiem Daniel, 18, suami saya perlu menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) sebelum menjalani pembedahan kali kedua.

"Melalui panggilan video yang dibuat oleh Muhammad Haqiem Daniel, saya dapat lihat suami saya cedera di kedua-dua kaki dan belakang badan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 8, Shah Alam.

Tambah Zurinawati yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, beliau dan anak sulungnya Muhammad Haiqal Daniel, 20 akan bertolak ke New Zealand pada kira-kira pukul 1 tengah hari nanti dan dijangka tiba pagi Ahad.

"Terima kasih juga kepada UiTM kerana sudi menaja tiket penerbangan kami berdua," katanya.

Ditanya sama ada akan membawa pulang suaminya dan tiga anaknya pulang ke tanah air, Zurinawati berkata perkara itu akan diputuskan selepas beliau tiba di sana dan melihat keadaan suaminya.

Nazril Hisham dan tiga anak mereka yang masih bersekolah, Muhammad Haqiem Daniel, 18, Muhammad Hazieq Daniel, 14, dan Muhammad Hazriq Daniel, 10, tinggal di bandar raya di Christchurch sejak penghujung Januari lepas.

Media pada Jumaat melaporkan kejadian serangan di dua masjid di Christchurch yang menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut setakat ini dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain