Pencemaran toksik: 111 sekolah ditutup, lebih 500 dirawat - Semasa | mStar

Pencemaran toksik: 111 sekolah ditutup, lebih 500 dirawat

Seorang pelajar dikendong untuk mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang pada Rabu.
Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke dewan itu untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia.

SEJUMLAH 506 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, manakala kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup pada Khamis ekoran pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, di sini, sejak seminggu lalu.

Seramai 166 orang kini dirawat di HSI.

Kes pencemaran toksik yang masuk hari ketujuh, Rabu menyaksikan jumlah kes baharu meningkat apabila pelajar dan murid beberapa lagi sekolah di sekitar kawasan itu mendapatkan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih kerana mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Berikutan penutupan sekolah tersebut, Kementerian Pendidikan berkata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah terlibat boleh mendapatkan keputusan peperiksaan itu esok di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang selepas jam 10 pagi atau menyemak keputusan melalui mySMS 15888.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menggerakan enam pasukan klinik kesihatan; dua ambulans dan dua pasukan dari HSI; dua ambulans dan dua pasukan Hospital Sultanah Aminah; serta bantuan ambulans daripada badan bukan kerajaan untuk menangani pesakit yang terjejas dalam kejadian itu.

Selain itu, klinik bergerak juga ditempatkan di Taman Mawar dan Taman pasir Putih untuk memberikan rawatan awal kepada pesakit terlibat.

Dr Dzulkefly turut mengingatkan orang  ramai terutama yang tinggal di kawasan Pasir Gudang supaya melakukan pencegahan dengan mengelak daripada berada di kawasan kejadian serta memakai topeng muka jenis R95.

“Kita dapati antara beberapa faktor pencemaran kimia itu tersebar dengan kelajuan angin dan arah angin, dalam radius  lima kilometer pun boleh kena bahan bahaya toksik ini,” katanya.

Keadaan itu menyebakan kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta  sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, pada sidang media selepas hampir tiga jam mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, setakat ini keadaan terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan itu.

Beliau meminta orang ramai tidak panik, jangan membuat spekulasi dan berhenti menyebarkan maklumat tidak betul yang boleh mendatangkan perasaan cemas kepada umum, sebaliknya sentiasa mengikuti maklumat yang betul daripada pihak berkuasa.

F okus utama sekarang ialah kerja-kerja pengawalan pencemaran dan mengurus serta merawat pesakit yang terkesan dengan pencemaran ini, katanya.

Tiga kontraktor dijangka menyelesaikan operasi pembersihan sungai yang terjejas sepanjang 1.5 kilometer dalam masa kurang seminggu.

Kejadian itu turut menyaksikan tiga orang termasuk dua pemilik kilang ditahan dan seorang daripadanya dijangka didakwa di mahkamah esok.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah pun melengkap kertas siasatan dan tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.-- Bernama   




toksik , Sungai Kim Kim

Artikel Berikut

Kereta Adun Buntong dicuri

Artikel Lain