suria

Buang toksik: 34 sekolah ditutup serta-merta

Seorang pelajar terbaring dibawa menaiki ambulans untuk ke hospital selepas mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pada Rabu. Foto Bernama (Gambar kecil) Maszlee Malik.

SEBANYAK 34 sekolah di sekitar Pasir Gudang, Johor diarah ditutup serta-merta berikutan insiden pencemaran susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bahan kimia: Pemilik kilang bakal didakwa

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, arahan tersebut dikeluarkan memandangkan keadaan semakin kritikal pada Rabu.

"Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak murid dan warga sekolah, saya telah mengarahkan sebanyak 34 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup serta-merta pada hari ini. 

"Pihak guru juga tidak perlu bertugas kerana keadaan masih bahaya," katanya dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Maszlee menegaskan sejak dari awal kes itu berlaku pada 7 Mac lalu, Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk memastikan keselamatan murid, guru dan pekerja sekolah menjadi keutamaan.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan memandang serius isu ini memandangkan ia melibatkan risiko nyawa kepada murid, guru dan pekerja sekolah.

"Kementerian menggesa penjenayah yang melakukan kesalahan berat ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera," ujarnya.

Terdahulu, pemilik syarikat tayar kitar semula, antara tiga suspek ditahan Isnin lepas, yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim baru-baru ini, dijangka didakwa di mahkamah seawalnya pada Khamis.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan telah siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

“Kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

BERIKUT adalah senarai 34 sekolah yang ditutup serta-merta pada Rabu:

1. Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih

2. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih

3. Sekolah Kebangsaan Pasir Putih

4. Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort

5. Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort

6. Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2

7. Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2

8. Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3

9. Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai

10. Sekolah Kebangsaan Kota Amsai

11. Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh

12. Sekolah Agama Kampung Pasir Putih*

13. Sekolah Agama Taman Pasir Putih*

14. Sekolah Kebangsaan Scientex

15. Sekolah Kebangsaan Taman Mawar

16. Sekolah Menengah Kebangsaan Nusa Damai

17. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Rinting 1

18. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Cendana

19. Sekolah Seni Malaysia

20. Sekolah Menengah Scientex

21. Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia

22. Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Gudang 4

23. Sekolah Kebangsaan Nusa Damai

24. Sekolah Kebangsaan Kopok

25. Sekolah Kebangsaan Cahaya Masai

26. Sekolah Kebangsaan Taman Cendana

27. Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2

28. Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 3

29. Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2

30. Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Timur

31. Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 3

32. Sekolah Kebangsaan Masai

33. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pasir Gudang

34. Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 4

*Sekolah Agama Kampung Pasir Putih Dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih Merupakan Sekolah Di Bawah Kerajaan Negeri Johor.

Artikel Lain