suria

MCA, MIC kekal dalam BN

Mohamad berjabat tangan dengan Ka siong (kiri) dan Vigneswaran. AZHAR MAHFOF/The Star

MCA dan MIC kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usul pembubaran BN oleh MCA melalui resolusi Mesyuarat Agung Tahunan parti itu dibentang pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN pada Jumaat namun tiada konsensus dibuat mengenainya.

"MCA dan MIC masih kekal utuh tetapi kami ambil pandangan semua isu yang mesti kami tangani," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT BN di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S.A, Vigneswaran.

MCA dalam resolusi Mesyuarat Agung Tahunannya tahun lepas antara lain mengusulkan supaya mandat diberi kepada jawatankuasa pusat BN untuk membubarkan gabungan itu dan memulakan usaha mewujudkan satu pakatan baharu.

Malah beberapa hari lepas, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama memberi bayangan untuk keluar daripada BN, namun hanya akan membuat keputusan akhir selepas mesyuarat MT BN diadakan.

Kedua presiden parti komponen BN itu dipetik sebagai berkata bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada BN bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Mohamad menegaskan sesuai dengan piagam BN, kesemua keputusan melibatkan parti itu perlu dilakukan secara konsensus, tidak boleh secara unilateral dan ini, menurutnya sekali lagi dipersetujui ketiga-tiga parti yang hadir.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiga-ketiga parti bersetuju dengan resolusi lain MCA supaya BN diselaraskan semula mengikut kehendak semasa.

Justeru, beliau berkata satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan secepat mungkin bagi meneliti perkara itu dan tidak menolak kemungkinan mewujudkan BN 2.0 sekiranya ada keperluan.

"Umno memang tak nak lihat BN dibubarkan, kami dah banyak sejarah kepada negara...patut dikekalkan, kita boleh mengubah suai, bukan kerana sekali kalah terus nak kena bubar sebab itu kami menubuhkan jawatankuasa teknikal, terpulang kepada mereka untuk beri apa jua pandangan," katanya.

Pada mesyuarat kira-kira dua jam itu, Mohamad berkata, isu kerjasama Umno dan PAS turut dibentangkan dan mendapat sokongan penuh MCA dan MIC.

"Tidak ada salah jika ia datangkan kebaikan kepada BN, kami tak terikat dalam perkara ini, kami bukan lagi dalam kerajaan, jadi setiap parti perlu perkasakan diri masing-masing, setiap parti perlu sedikit ruang atas sebab itu Umno mempunyai sedikit ruang untuk bekerjasama dengan PAS.

"Macam dulu kita bagi MCA untuk guna logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil Balakong, jadi ia fleksibel kita bukan tegar sangat," katanya.

Beliau berkata usul sama ada PAS akan dibawa masuk sebagai parti komponen baharu BN bagaimanapun tidak dibincangkan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC yakin PAS tidak mempunyai hasrat untuk menyertai BN dan beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS.

Wee pula berkata hasil mesyuarat MT BN itu akan dibentang pada mesyuarat Anggota Jawatankuasa Pusat MCA pada 17 Mac ini. - BERNAMA

BN, MCA, MIC, Mohamad Hasan

Artikel Sebelum

Artikel Lain