suria

"Nurul Izzah sudah penat dengan permainan politik dan bukannya beri tumpuan bantu rakyat" - Anwar

Anwar menyokong keputusan Nurul Izzah untuk letak jawatan sebagai naib presiden PKR.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keputusan anak perempuannya, Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR.

Beliau berkata, ia terpulang sepenuhnya kepada Nurul Izzah yang sentiasa berani mempertahankan perkara yang dipercayai oleh beliau.

Presiden PKR itu berkata bahawa beliau dan Nurul Izzah sudah lama berbincang tentang hasrat ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk meletakkan jawatan.

"Saya bukan orangnya untuk mendedahkan butiran lanjut, tetapi saya tahu bahawa dengan perkembangan politik selama sembilan bulan terakhir ini yang tidak berkesudahan.

"Beliau letih dan bosan dengan penipuan dan komplot oleh mereka yang lebih berminat untuk bermain politik dan bukannya memberi tumpuan kepada membantu rakyat," kata Anwar dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Anwar memberi contoh tentang tindakan beberapa pemimpin yang lompat parti demi menyelamatkan 'pengaruh politik' mereka dan telah menyebabkan kekecewaan rakyat.

Nurul Izzah letak jawatan selaku naib presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang pada Isnin.

Anwar juga berkata bahawa Nurul Izzah tetap ingin meletakkan jawatan walaupun dilantik menjadi naib presiden parti dengan meraih majoriti besar.

"Ini adalah indikmen sesetengah individu dalam kepimpinan parti yang meletakkan ketamakan sendiri melebihi perpaduan parti," kata Anwar.

Beliau berkata selama 20 tahun lalu, semangat 'Reformasi' yang ditanam dalam diri Nurul Izzah tetap teguh dan bertahan untuk menentang pelbagai cabaran kerana mereka kekal berada di landasan asal.

"9 Mei adalah satu titik perubahan, tetapi kemenangan kita dalam mencapai ruang demokratik yang lebih besar tidak boleh dikira jika agenda reformasi disabotaj.

"Walaupun saya tidak dapat menafikan bahawa keputusannya adalah satu kerugian besar kepada bukan sahaja PKR tetapi kepada seluruh negara.

"Saya menyeru kepada semua ahli parti dan rakyat Malaysia agar menghormati keputusannya dan memberi ruang kepada beliau untuk berfikir tentang langkah seterusnya.

"Dengan rasa tanggungjawab dan komitmennya, meletakkan keutamaan kepada kepentingan rakyat, saya tidak ragu-ragu lagi bahawa dia akan terus berkhidmat dengan baik," kata Anwar. - The Star

Anwar Ibrahim, Nurul Izzah

Artikel Lain