suria

Arul Kanda ditahan, dijangka didakwa bersama Najib esok

Arul Kanda Kandasamy

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy ditahan dan bakal didakwa pada Rabu berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Peguam yang mewakilinya, Datuk N. Sivananthan mengesahkan penahanan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 10.30 pagi, Selasa.

"Beliau akan didakwa pada Rabu bersama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak," ujar Sivananthan kepada pemberita di ibu pejabar SPRM.

Arul Kanda berada di sana bagi merakamkan keterangannya berhubung kes berkenaan.

Tambah peguamnya lagi, Arul Kanda dijangka menghadapi pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 23, akta SPRM.

"Setahu saya, hanya Arul Kanda dan Datuk Seri Najib. Saya tak pasti jika ada individu lain yang akan didakwa esok," ujar peguamnya lagi.

Arul tiba di ibu pejabat SPRM sekitar pukul 9.30 pagi, Selasa.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, sebahagian audit akhir 1MDB dibuang.

Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB.

Tambahnya lagi, arahan pengubahan itu diberikan oleh Tan Sri Shukry Salleh, yang juga ketua setiausaha sulit Najib sewaktu dia menjadi perdana menteri.

Artikel Lain