Guru asal Kedah, Kelantan, Terengganu paling ramai mohon pertukaran dari Sabah, Sarawak - Semasa | mStar

Guru asal Kedah, Kelantan, Terengganu paling ramai mohon pertukaran dari Sabah, Sarawak

Kementerian Pendidikan masih mengekalkan polisi 90 peratus adalah guru yang mewakili anak asal Sabah dan Sarawak. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Guru yang berasal dari Kedah, Kelantan dan Terengganu  merupakan antara yang paling ramai membuat permohonan pertukaran dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata guru sekolah rendah paling ramai memohon keluar dari Sarawak ke Semenanjung adalah seramai 386 orang untuk ke Kedah, diikuti Terengganu 298 orang, Kelantan (252) dan Johor (107).

Beliau berkata guru sekolah menengah memohon keluar dari Sarawak ke Semenanjung pula adalah 197 orang ke Kelantan, Terengganu (152), Perak (149) dan Kedah (123).

“Guru sekolah rendah paling ramai memohon keluar dari Sabah ke Semenanjung ialah ke Kelantan seramai 201 orang, Kedah (156), Terengganu (108) dan Perak (101) sementara guru sekolah menengah yang memohon ke Kelantan adalah seramai 223 orang, Terengganu (116) Selangor (91) dan Kedah (86),” katanya pada sesi jawab lisan, Selasa.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu negeri mana di Semenanjung yang paling banyak pertukaran dimohon guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak.

Maszlee berkata kementerian itu masih mengekalkan polisi 90 peratus adalah guru yang mewakili anak asal Sabah dan Sarawak manakala 10 peratus lagi mereka dari Semenanjung.

Katanya, bagi meramaikan guru dari Sabah dan Sarawak berkhidmat di negeri asal, kerajaan telah mengambil insentif dengan keutamaan pengambilan calon guru terlatih di Sabah dan Sarawak adalah dari kalangan anak tempatan.

"Pelantikan guru interim asal Sarawak daripada pasaran terbuka, guru tempatan yang berkhidmat di sekolah pedalaman layak mendapat elaun khas mengikut tahap kesukaran dan lokasi serta elaun balik kampung walaupun mereka dari Sabah dan Sarawak juga antara insentif lain disediakan kerajaan," katanya. - Bernama


pertukaran guru

Artikel Sebelum

6 rakyat tempatan maut kebakaran rumah kedai

Artikel Berikut

Lebih Artikel