Identiti mayat warga Filipina ditemui di sungai disahkan, duta kata mungkin kes bunuh - Semasa | mStar

Identiti mayat warga Filipina ditemui di sungai disahkan, duta kata mungkin kes bunuh

Gambar Madelyn daripada foto profail Facebook miliknya.

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa telah mengesahkan identiti warga Filipina yang ditemui mati di Sungai Pagalan di Melalap, Tenom, lebih seminggu lalu.

Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) dalam satu kenyataan pada Sabtu mengucapkan takziah kepada keluarga Madelyn Bernardo Asuncion.

Duta Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose berkata, pihak berkuasa telah memaklumkan kepada kedutaannya bahawa terdapat bukti yang cukup untuk mengklasifikasikan ia sebagai kes bunuh.

Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur sedang menunggu laporan rasmi berhubung kejadian dan keputusan bedah siasat daripada pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, Madelyn berasal dari Zamboanga City tetapi menetap bersama bapanya di Malaysia sejak 10 tahun lalu.

Bapa Madelyn membantu pihak berkuasa dalam mengenal pasti mayat anaknya.

Ketua Polis Tenom, Asisten Superitendan Ahmad Razali Shaari ketika dihubungi pada Jumaat mengesahkan identiti mangsa.

Beliau berkata, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat, sambil menambah bahawa kes itu akan diklasifikasikan semula sekiranya keputusan menunjukkan pembunuhan.

Seorang pekerja ladang memaklumkan pihak polis selepas menemui mayat Madelyn terapung di sungai, kira-kira pukul 7 pagi 28 November lalu.

Salah satu kakinya terikat pada struktur pam air milik sebuah syarikat perladangan.

Gambar-gambar berhubung insiden tular, dan mangsa dikenal pasti oleh pengguna media sosial menerusi tatu pada lengan dan kakinya.

Menurut kenalannya yang enggan dikenali, Madelyn pernah bekerja di sebuah restoran di Keningau. - The Star

Madelyn Bernardo Asuncion

Artikel Berikut

Tun M buat 'spot check' Himpunan ICERD?